Selamat Datang kepada pengunjung budiman ke blog SYIFA AS SAKINAH C&S. Terimakasih .. Sertai segera Insurans Kesihatan Prudential BSN Takaful , Skim Pelaburan Ahli KWSP & Khidmat Kaunseling serta Pengubatan Islam. Buat appoinment & berbicang segera terus dgn saya. .

Thursday 25 February 2010

Maulidur Rasul S.A.W : Sejarah & Manifestasi Ummah

Semenjak tahun 969 M, hari kelahiran Nabi Muhammad saw diperingati secara “meriah” oleh orang Fathimiyah di Mesir. Peringatan ini dilakukan dengan khutbah yang mengingatkan kemuliaan Rasulullah. Di akhir acara, pelbagai makanan kesukaan Nabi, seperti madu, dibahagikan kepada fakir miskin.

Di Iraq Utara, semangat merayakan Maulid tidak kurang semaraknya. Di negara 1001 Malam ini Maulid dilaksanakan secara besar-besaran sejak tahun 1200-an. Bahkan mungkin sebelum itu pun sudah dilakukan dalam suasana yang lebih sederhana.

Dikatakan sambutan ini paling meriah di Kota Karbala. Di kota ini persiapan Maulid dimulakan sejak bulan pertama Hijriah. Khemah-khemah dan pondok-pondok kayu didirikan dan haiwan ternakan dikorbankan untuk jamuan para tetamu. Lebih daripada itu, diadakan juga ceramah, bacaan doa dan pelbagai kegiatan kesenian yang berunsur Islam diadakan.

Kemungkinan dari sini bermulanya asal-usulnya Maulid yang akhirnya menjadi tradisi umat Islam, Wallahu A’lam. Yang jelas, setelah tahun 1200-an, sambutan Maulidur Rasul semakin berkembang di negara-negara Islam yang lain. Di Turki, perayaan Mevlut, nama Maulid di sana, bukan sahaja diisi dengan khutbah dan pembacaan syair-syair tentang kemuliaan Rasulullah, bahkan seluruh masjid dan tempat ibadah dihiasi dengan lampu dan lilin. Sambutan Maulidur Rasul di bebarapa negara Islam di Afrika Utara juga disesuaikan dengan budaya tempatan. Di Maghribi misalnya, Maulid diisi dengan pembacaan syair-syair irfani


Di China, pada tarikh kelahiran Rasulullah, Muslim di sana datang ke masjid dengan pakaian yang cantik untuk mendengar bacaan al-Quran dan ceramah para ahung (ulama). Seperti di tempat-tempat lain, isi ceramahnya berkisar tentang kisah perjuangan Rasulullah saw. “Baginda datang dengan ajaran tauhid,” kata para ahung. “Maka sebagai orang Islam, dalam diri kita harus tertanam semangat tauhid. Tuhan hanyalah Allah dan Muhammad saw adalah utusan-Nya.”

Di Republik Islam Iran, perayaan maulid ini dirayakan dengan lebih meriah. Seringkali juga negara Akhund (ulama) itu mengadakan perlbagai seminar dan ceramah berkaitan kehidupan baginda saw. Acara Maulidur Rasul disambut selama seminggu mulai 12 Rabiul Awwal sehingga 17 Rabiul Awwal. Seluruh bandar dihiasi lampu dengan warna yang indah. Pada hari-hari itu masyarakat Iran mempunyai tradisi yang unik, iaitu membahagi-bahagikan kuih-muih atau kurma kepada para pejalan kaki yang kebetulan lalu di depan rumah atau kedai mereka.

Pada zaman Imam Khomeini, kerajaan Iran telah mengisyitharkan bahawa tarikh 12 hingga 17 Rabiul Awal sebagai “Minggu Perpaduan Umat Islam”. Ini berikutan sebahagian ahli sejarah Islam yang berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Rasulullah saw., iaitu sama ada 12 atau 17 Rabiul Awwal. Program Minggu Perpaduan ini diadakan setiap tahun dengan mengundang para ulama dari pelbagai negara Islam, termasuk Malaysia untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan masalah umat Islam masa kini.

Tetapi bagi mereka yang fahaman agamanya agak materialistik, penggunaan lilin, lampu, bacaan syair, selawat dan ceramah seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam tersebut, digolongkan sebagai bid’ah dholalah – bid’ah yang sesat. Mungkin mereka tidak menyedari bahawa itu semua adalah refleksi kecintaan umat yang tulus kepada Muhammad saw.

Namun merayakan kelahiran Nabi Muhammad saw – yang merupakan suatu peristiwa bersejarah dalam peradaban umat manusia – menurut para fuqaha sebagai bid’ah hasanah (good inovation). Pada tahun 1991, satu fatwa telah dikeluarkan oleh Syaikh Muhammad al-Khazraji, seorang mufti besar kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan juga seorang pengarang yang kitab-kitab Islam yang menjelaskan bahawa meskipun Maulidur Rasul dengan pelbagai perkembangannya hingga ke hari ini tidak diamalkan pada masa-masa permulaan Islam namun nilai keagungannya dalam menanamkan benih kecintaan kepada Nabi saw sangat penting. Apatah lagi ianya tidak bertentangan dengan prinsip yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka pada kenyataannya sambutan Maulidur Rasul ini adalah perkara yang sangat dianjurkan (mustahab) sebagai medium untuk menumbuhkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad saw.

Meskipun begitu, kita dapati ada segolongan umat Islam yang condong kepada mazhab Wahabi menolak sambutan Maulidur Rasul ini, yang mereka namakan sebagai Bid’ah. Bagaimanapun tulisan ini cuba memetik pandangan para ulama besar seperti Ibnu Hajar, al-Suyuti, al-Nawawi, al-Syaukani dan ulama-ulama salafi yang lain di mana di dalam karya-karya mereka menegaskan dokongan terhadap perlunya sambutan Maulidur Rasul.


Ibnu Taimiyah (w. 728 H), seorang ulama Syria, menulis: “Merayakan dan memberi rasa hormat kepada kelahiran Rasulullah saw dan memandangnya sebagai saat-saat yang bersejarah sebagaimana yang dilakukan saudara Muslim kita adalah suatu perbuatan positif. Di dalam perbuatan itu terkandung ganjaran yang besar dari sisi Allah kerana dengan niat tulus dan ikhlas mereka menghormati Baginda Muhammad saw .” (Fatwa, vol. 23, hlm.163).

Murid kesayangannya, Ibnu al-Qayyim memberikan komentarnya: “Mendengarkan senandung indah pada perayaan kelahiran Nabi saw atau merayakan setiap peristiwa suci dalam sejarah Islam akan memberikan ketenteraman dan akan dicucuri rahmat oleh sinar kasih Rasulullah saw”. (Madarij al-Salikin, hlm. 498).

Dalam tradisi kaum salaf, para ulama telah menghasilkan karya-karya sebagai tanda penghargaan terhadap sambutan Maulidur Rasul yang secara khusus dibacakan pada setiap kali sambutan itu. Salah satu di antaranya adalah karya Ibnu Kathir bertajuk Maulid – yang mungkin terbaik – di antara karya-karya kaum salaf itu. Mufassir besar ini memulai Maulidnya dengan mengatakan:

“Malam kelahiran Nabi agung itu adalah suatu malam yang penuh berkah, penuh kesucian, kemuliaan dan keagungan. Malam itu juga merupakan malam yang penuh anugerah, kesucian, penuh pancaran sinar cahaya dan malam yang tak ternilai harganya bagi para pengikut setia Muhammad saw.”

Walaupun pelbagai usaha daripada pihak yang menolak sambutan Maulidur Rasul ini dengan melaungkan slogan “Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah”, untuk mencampakkan tradisi kasih-sayang kaum Muslimin ini, namun para ulama tetap berusaha melestarikan tradisi ini.



Dengan keadaan kaum Muslimin yang semakin hilang bimbingan serta suri tauladan dalam kehidupan mereka seharian, maka syair yang membuatkan airmata mengalir, selawat dan doa yang membasahkan jiwa, ceramah yang penuh dengan nada cinta serta tradisi yang suci ini perlu terus hayati. Ketika eadaan umat Islam hari ini yang memerlukan aura lebih banyak untuk menyalakan kembali api cinta terhadap Rasulullah, maka masyarakat kita seharusnya tidak meremehkan sambutan-sambutan Maulidur Rasul dan apa sahaja tradisi yang dapat menumbuhkan kecintaan pada yang terkasih, pembimbing dan junjungan kita Muhammad saw – selama tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.

Lebih membimbangkan, apabila benih kecintaan ini mulai hilang dari kita, akan datang suatu masa di suatu generasi yang tidak mengenali sama sekali siapa Muhammad saw., sepertimana kita sekarang telah kehilangan sejarah tentang Ali, Fatimah dan seluruh isi keluarga Nabi saw.


No comments:

Post a Comment