Selamat Datang kepada pengunjung budiman ke blog SYIFA AS SAKINAH C&S. Terimakasih .. Sertai segera Insurans Kesihatan Prudential BSN Takaful , Skim Pelaburan Ahli KWSP & Khidmat Kaunseling serta Pengubatan Islam. Buat appoinment & berbicang segera terus dgn saya. .

Tuesday 29 September 2009

Isu Anugerah Ekspres Gelaran " Dr "

Kebanyakkan akhbar perdana dan media massa sejak kebelakangan ini menjuruskan perhatian kepada isu lambakkan gelaran Dato dan Dr.di kalangan rakyat Malaysia .

Kebetulan pada malam tadi saya ( 28/9/2009 ) saya sempat mengikuti kupasan isu dalam rancangan TV 1 " Di Luar Ruang Lingkup Syed Munawwar" . Dalam rancangan itu terdapat 3 orang jemputan membahaskan tajuk ini . Seorang Prof Dr dari UKM , seorang Dr UM dan seorang penganalisis jenayah di Malaysia.( saya lupa nama sebenar pembahas tersebut )

Rupa-rupanya lambakkan gelaran Dato dan Dr sudah menjadi isu yang serius. Bahkan pemalsuan Dato dan Dr adalah merupakan jenayah yang mesti di ambil tindakan sewajarnya agar tidak menjadi lebih parah . Tindakan ini perlu dibuat segera untuk menjaga status , prestij dan pengiktirafan kepada pemegang gelaran tersebut . Di samping itu juga , dapat mengelak daripada penipuan dalam mencari tempat dalam masyarakat , mengejar pangkat di tempat kerja dan mencari pengaruh serta nama dalam komuniti dan macam-macam lagi.

Gelaran Dr seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan di kalangan masyarakat . Bahkan , di sebabkan Dr Cap Ayam ( gelaran yang saya beri ) ini akan menyebabkan hilangan kepercayaan pelajar kepada pensyarah yang benar-benar tulin mempunyai PhD daripada institusi pendidikan di dalam atau luar negara yang diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) . Jika tidak dibendung , tidak mustahil institusi pendidikan di Malaysia akan dihuni oleh pensyarah-pensyarah palsu ( kononnya mempunyai Degree , Masters dan PhD ) yang akan menjatuhkan status dan prestij kolej , kolej universiti atau universiti di Malaysia di mata dunia.

Di sini saya cuma akan menumpukan kepada isu gelaran Dr. Terdapat 2 penyataan yang saya perolehi mungkin boleh kita fikirkan bersama, iaitu :

Pertama :

Harian Metro : Ijazah palsu 'PhD' cuma RM200

Mereka yang gagal dalam pelajaran termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini boleh menyamar memiliki gelaran Doktor Falsafah (PhD) dengan hanya membeli segulung ijazah kedoktoran universiti tempatan palsu berharga RM200.

Ijazah ekspres itu bukan saja bagi peringkat PhD, malah diploma dan ijazah kepujian boleh diperoleh dalam tempoh beberapa hari saja tanpa perlu membayar yuran pengajian beribu-ribu ringgit, mengikuti pengajian bertahun-tahun, memerah otak menduduki peperiksaan atau menyiapkan tesis.

Apa yang perlu dilakukan hanya membelanjakan RM200 hingga RM1,500 melalui internet menggunakan kad kredit atau pemindahan wang ke bank secara on-line untuk membeli ijazah itu daripada pihak tertentu.

Lebih mengagumkan, ijazah itu boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan majikan lebih tertarik meneliti tahap pencapaian calon berbanding mengesahkan keaslian sijil yang dijadikan bukti pencapaian akademik.

Gejala pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara itu didedahkan MVD International Sdn Bhd (MVD International), syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan mengenai gejala berkenaan.

Pengarah Urusannya, M Venodevan, berkata kecenderungan penggunaan ijazah palsu semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbanding hanya 2,000 ketika syarikat itu mula-mula menyediakan khidmat siasatan latar belakang calon temuduga.

Beliau berkata, daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat MVD International di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik.

“Kecenderungan penipuan sijil akademik untuk memohon kerja semakin ketara dan serius sekarang apabila siasatan kami membabitkan 800 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini mendapati kira-kira 100 kes berlaku pemalsuan dan penipuan calon,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Cheras, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, penipuan itu membabitkan semua kaum dengan kira-kira 35 peratus daripada kes ialah wanita.

Katanya, kira-kira 70 hingga 80 peratus kes pemalsuan sijil itu membabitkan graduan yang baru menamatkan pengajian di IPTA/IPTS manakala bakinya pemegang ijazah yang mahu meningkatkan taraf pendidikannya.

Mengulas punca pemalsuan itu, Venodevan berkata, kebiasaannya calon yang memalsukan ijazah mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan tetapi tiada kelulusan yang cukup tinggi untuk mendapat tempat dalam sesetengah jawatan ditawarkan.

“Persaingan sengit di kalangan calon dalam merebut jawatan yang ditawarkan sesebuah syarikat membuatkan calon terbabit mengambil pendekatan mudah iaitu mendapatkan sijil akademik dan kegiatan kokurikulum palsu,” katanya.

Menurutnya, ada calon yang menggunakan ijazah palsu itu lolos dan diterima berkhidmat berikutan kecuaian bahagian sumber manusia di sesebuah syarikat yang tidak membuat semakan dengan institusi pengajian berkenaan.

Katanya, tahap kesedaran majikan syarikat tempatan juga masih rendah berbanding syarikat asing yang beroperasi di negara ini dengan 60 peratus daripada pelanggan MVD International adalah syarikat asing.

“Syarikat yang menggaji pekerja menggunakan sijil palsu itu akhirnya mengalami kerugian apabila mereka terpaksa membayar gaji yang mahal sedangkan pengetahuan pekerja terbabit adalah terhad dan tidak boleh dikembangkan untuk kemajuan syarikat,” katanya.

Kedua :

JENAYAH KEDOKTORAN PALSU
Sumber : http://faizalriduan.blogspot.com/2008/04/jenayah-kedoktoran-palsu.html

Pendedahan tentang kewujudan doktor-doktor palsu hanya memberikan limitasi kuasa untuk Kementerian Kesihatan bertindak kepada pemegang gelaran doktor perubatan palsu sahaja di bawah peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM 300,000 atau penjara enam tahun dan kedua-duanya. Pemegang gelaran doktor atau professor palsu dalam perubatan alternatif, Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Kehormat (Honoris Causa) ternyata masih bebas dengan 'jenayah kedoktoran' mereka.

Masyarakat Malaysia yang dalam sebuah negara membangun ternyata mudah disogok dan gagal membezakan kelayakan setiap jenis ijazah kedoktoran. Jika di Belanda dan di Indonesia, doktor perubatan dan doktor falsafah untuk PhD dibezakan dengan gelaran 'dokter' (dieja Dr.) dan 'doktor' (dieja DR.). Yang lebih pelik, ramai di antara kita yang tidak tahu gelaran 'Master' adalah anak tangga sebelum sampai ke peringkat PhD. Lebih melucukan ada juga yang tidak tahu bahawa PhD itulah yang diperlukan untuk untuk mendapat gelaran 'Dr'. Gelaran Doktor Kehormat pula dianugerahkan bagi mengiktiraf sumbangan profesionalisme dalam bidang masing-masing yang telah dapat dibuktikan melalui piawaian dan standard kualiti yang tinggi.

Dalam catatan sejarah Indonesia semasa pemerintahan Gur Dur berlaku kontroversi skandal 'kedoktoran' menterinya melibatkan Menko Kesra dan Taskin Hamzah Haz. 'Harapkan pagar, pagar makan padi,' kemudiannya Menteri Pendidikan, Yahya Muhaimin pula dipertikaikan kedoktorannya kerana menciplak karya orang lain (plagiat). Tetapi cuba bandingkan dengan bekas Perdana Menteri Britain, John Major. Sungguhpun beliau tidak pernah menjejakan kakinya ke universiti, tetapi beliau tidak pernah berdusta tentang latar belakang akademiknya. Disebabkan beliau mempunyai bakat kepimpinan dan integriti moral yang tinggi, rakyat Britain tetap memilih beliau menjadi perdana menteri!

Bukan sahaja ahli politik bahkan artis cantik Indonesia , Maya Rumantir mencetuskan polemik apabila mendapat dua gelaran doktor sekaligus. Dua artis dangdut, Rama Aiphama dan Cici Paramida pula diiktiraf sebagai Doktor Kehormatan (honoris causa) oleh International Management Indonesia (IMI) yang mewakili American World University (AWU) di Amerika Syarikat. Malangnya gelaran tersebut tidak sah kerana universiti berkenaan tidak berkelayakan setelah diakreditasi dan ini melanggar Undang-Undang Sistem Pendidikan Nasional Indonesia.

Larisnya gelaran kesarjanaan bukan petunjuk masyarakat telah mencapai obsesi terhadap ilmu pengetahuan dalam kemuncak tamadun dan peradaban bangsa menjelang tahun 2020. Mereka yang membayar harga satu gelaran kedoktoran adalah orang yang tahu tentang nilai ekonomi sebuah komoditi dalam pasaran masyarakat industri. Pemegang gelaran Prof. dan Dr. palsu ini melihat gelaran sebagai satu lambang status sosial. Justeru yang dikejar bukan gelaran atau kehormatan itu sendiri, tetapi lebih kepada keuntungan ekonomi dan populariti. Dari sudut pandang demikian, ijazah kedoktoran palsu tidak ubah seperti wang palsu, kad kredit palsu atau cek kosong.

Tanpa Canselor dan Senat yang sah, penerima anugerah gelaran dan ijazah akan diraikan secara 'syok sendiri'. Mereka ini tanpa rasa segan, silu dan malu mengenakan Jubah dan 'Hunter's Hat' dalam protokol Majlis Konvokesyen yang diadakan di hotel berbintang-bintang bahkan sanggup diterbangkan sehingga ke luar negara untuk mendapat 'feel' graduasi. Pastinya sekeping ijazah dan beberapa keping gambar akan dijadikan bukti 'seumur hidup' tentang pengiktirafan akademik dan penganugerahan gelaran terhadap jasa dan sumbangan mereka yang 'dibuat-buat'.

Ijazah ekspres ini boleh diperolehi dalam tempoh beberapa hari sahaja tanpa perlu membayar yuran pengajian beribu-ribu ringgit, mengikuti pengajian bertahun-tahun, menduduki peperiksaan bersemester-semester atau menyiapkan tesis berhelai-helai.

Tanpa pembiayaan geran, biasiswa dan pinjaman pendidikan, pembayaran seminimum ratusan ringgit sahaja melalui kad kredit di talian internet atau pemindahan wang ke bank secara on-line membolehkan mereka untuk membeli ijazah melalui pihak ketiga.
Mereka kemudiannya boleh memilih gelaran yang diingini sama ada Prof., Dr., Ir., Sir dengan kelayakan MM, MSc, MBA, BBA, PhD serta boleh terus mencantumkan dua atau lebih gelaran tersebut di depan atau dibelakang nama mereka.

Oleh itu tidaklah menghairankan apabila kebanyakan nama-nama universiti yang memberikan gelaran tersebut yang dieja dalam bahasa inggeris itu tidak wujud apabila di-google-kan atau di-yahoo-kan dalam enjin carian internet. Bahkan berselindung di balik universiti maya dan pendidikan jarak jauh, universiti tanpa kampus ini alamatnya pun menggunakan Post Box!

Di Malaysia belum ada undang-undang yang boleh mengheret pengguna kelayakan akademik samara seperti pangkat Prof. Ir. Dr. Sir. (PhD) tanpa kelayakan yang sah atau mereka yang memberikan gambaran palsu tentang kelayakan akademik mereka. Gelaran kedoktoran sewajarnya diberikan tempat tertinggi seperti gelaran anugerah diraja bahkan dilidungi dari penipuan dan penyalahgunaan. Jika tidak jangan terperanjat jika Prof. Ir. Dr. Sir. (PhD) didaftarkan sebagai nama identiti dalam kad pengenalan bermutu tinggi, MyKad!

Fenomena jenayah akademik dengan menggunakan gelaran kedoktoran palsu lebih ketara dalam bidang perubatan alternatif, produk kecantikan dan kesihatan berasaskan kaedah spiritual dan holistik, Multi Level Marketing (MLM), bidang pemasaran dan jualan, kewangan dan pelaburan, kekayaan dan kejutawanan malah bidang kaunselor, motivasi dan runding cara juga turut menyaksikan penglibatan aktif pakar-pakar kedoktoran palsu .

Kebanyakan penemuan dan hasil idea dari kajian dan penyelidikan pula tidak mengikut disiplin ilmu yang tulen, diformulasi oleh mereka yang mendakwa 'pakar' yang sebenarnya tiada latar belakang dan asas akademik yang konsensus, hanya berbekalkan sokongan pengiktirafan dari institusi dan pertubuhan yang diragui modus operandi dan kemujudannya di alam maya. Tanpa merit mereka mengunakan kredit kedoktoran untuk memasarkan kepercayaan karut yang belum terbukti kesahihannya.

Oleh itu tidaklah menghairankan apabila banyak pengamal perubatan alternatif mendakwa mereka berjaya menghasilkan produk yang ajaib lagi mujarab yang diperakui seluruh dunia sedangkan Kementerian Kesihatan sendiri tidak dimaklumkan tentang kewujudan 'formula rahsia' tersebut. Dalam bidang pemasaran pula, ada yang menggunakan gelaran doktor dengan tujuan melobi diri mereka sebagai pakar kewangan, pakar ekonomi, pakar internet, pakar MLM dan pakar kejutawanan sedangkan mereka 'makan gaji' dengan bahan sokongan dan yuran kursus yang dikenakan kepada peserta yang teruja dengan kedoktoran palsu mereka. Oleh yang demikian wajar mereka ini mendedahkan pernyata cukai pendapatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam membuktikan kesahihan kekayaan mereka dari hasil kegeniusan otak geliga mereka itu.

Lebih parah lagi terdapat beberapa pakar yang menggunakan 'kedoktoran segera' mereka untuk memberikan perkhidmatan motivasi, kaunseling dan runding cara. Ini sangat berbahaya kerana isi kandungannya tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang sahih dan kaedah yang belum terbukti keafdalannya. Dikhuatiri teori ilmu yang belum diuji dalam lapangan praktikaliti dunia prosefional akan memberikan gambaran dan maklumat salah tentang realiti penyelesaian sesuatu masalah.

Sebagai contoh teori 'Yakin Boleh' di Malaysia yang dimulakan oleh Allahyarham Megat Ismail, seorang penulis yang juga menulis lirik popular, 'Fikirkan Boleh'. Semangat tersebut telah diselewengkan menjadi satu mazhab pemikiran yang taksub dan fanatik sehingga beranggapan mereka akan benar-benar 'boleh' mencapai apa sahaja yang mereka mahu idamkan dengan hanya berangan-angan. Ia semacam magis lampu ajaib Aladdin dalam cerita ‘Seribu Satu Malam’!

Justeru, para pakar motivasi ini mengatakan dengan menukarkan keyakinan barulah kita dapat mengubah prestasi secara total. Mazhab kepercayaan ini juga menafikan faktor-faktor kritikal di sebalik setiap kejayaan iaitu peranan ilmu pengetahuan, maklumat, latar pendidikan, kemahiran, modal dan sumber teknikal sokongan yang lain. Mazhab yang dipelopori oleh Napolean Hill dan seorang paderi bernama Norman Vincent Peale ini asalnya sangat popular pada tahun 60′an hinggalah 80′an ini terus dicedok bulat-bulat dan disupkan ke mulut rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu motivasi, psikologi, komunikasi intim, perhubungan interpersonal dan ilmu kejiwaan yang lain.

Malangnya kemunculan pakar pemasaran bernama Alries dan Jack Trout telah berjaya membuktikan doktrin berfikir positif sahaja sudah mati bersama pengasasnya. Dalam bukunya ‘Horse Sense’, mereka memberikan contoh bagaimana 'berfikir negatif' ― fikir sebaliknya jauh lebih baik dan berjaya. Terapi aplikasi teori ini, Levi Strauss yang mulanya kerugian apabila menjual kain kanvas untuk kegunaan khemah pendulang emas di West. Levi telah menukar pola berfikir negatif iaitu berfikir sebaliknya ― apa yang pendulang sangat perlukan ialah seluar dari kain kanvas yang tahan lasak dan poket yang dipaku (rivet) supaya tahan untuk menampung emas yang berat. Hasilnya Levis kini menjadi jenama jeans terkenal dan antara produk tiruan kesukaan ramai. Ia lebih laris dari buku-buku motivasi yang ideanya dicetak rompak dari luar negara.

Ini hanya sekadar beberapa contoh bagaimana formulasi pakar yang memanipulasikan kesarjanaan dan kedoktoran palsu yang sebenarnya memberikan gambaran dan harapan dengan menipu tentang realiti sebenar dunia hari ini. Jika doktor perubatan palsu mengancam nyawa pesakit secara lahiriah maka Doktor Falsafah dan Doktor Kehormat palsu ini lebih dari itu kerana akan meracun fikiran modal insan dari dalam. Memberikaan ilmu kejiwaan yang menimbulkan krisis kecelaruan antara amalan dan praktikaliti, sebab musabab dan kesan akibat. Kesannya seluruh kehidupan dan pandangan dunianya dilihat dari kaca mata sempit seorang profesor atau doktor yang membayar harga yang rendah untuk gelaran kedoktorannya.

Dengan fakta tersebut, jangan terkejut bahawa laporan MVD International Sdn Bhd (MVD International), sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan mengenai Gejala pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara mendapati daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik.

Fungsi Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 ( sekarang MQA ) kini wajar dikaji semula untuk memperkasakan LAN melalui penguatkuasaan terhadap 'jenayah kedoktoran'. Bidang kuasa LAN harus diperluaskan bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penilaian jaminan kualiti dan pengakreditan ke atas IPTS tempatan dan kursus-kursus pengajian institusi pengajian tinggi luar negara yang dijalankan secara kerjasama dengan IPTS tempatan yang berdaftar di bawah Akta IPTS 1996 (Akta 555) sahaja. Malah mampu mengakreditasikan pengiktirafan anugerah dan gelaran ijazah kedoktoran warganegara Malaysia yang sekarang banyak berkeliaran dalam pasaran pelbagai produk.

"SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA LAMBAKKAN DATO DAN DR YANG PALSU DAN TIDAK BERKUALITI "



9 comments:

  1. aku pelik gak sbb kat kolej ada lecturer yg guna Dr kat nama dia.
    masa belajar tu hari pun aku tengok kat power point dia pun ada Dr .......
    pelik bin ajaib.master pun tak ada .tp tetiba dah ada Dr . sejak bila pulak dia buat phd ???
    Ni gaknye Dr Cap Ayam ni ?????????????

    ReplyDelete
  2. 2 bkan Dr cap ayam... 2 aku rase dah kne refer jmper psychiatrist dah 2...

    ReplyDelete
  3. Dr ayam nie patut diambil tindakan.
    Dipecat atau dibawak ke mahkamah segera !!
    x boleh dibiarkan.
    Pihak institusi tersebut x boleh bersubahat dalam pemalsuan gelaran Dr ni.

    Ambil tindakan segera !!!!!! sebelum terlambat..

    ReplyDelete
  4. Dr. Ayam ni desperade nak dipanggil Dr. walau x de PhD. Tanda2 sakit mental tu. Aku dgr ada seorg lecturer dpt offer gila babas dari company besar resign. Kalau kita ada quality, kredibility, integerity, tak payah guna PhD cap ayam. Bila tak ada quality, tak ada kredibility tak ada integerity, sebab tu terpaksa rosakkan dignity sendiri dengan mengaku Dr. walau diri sendiri pun tahu tak layak dipanggil Dr. Hinakan kalau lecturer yang without dignity mengajar kita ?

    ReplyDelete
  5. lecturer kat mana tu.sape org tu ?

    ReplyDelete
  6. Saya tau ader sorg lecturer yang gune DR kat depan nama dia, dia ni tak tau lah naper guner namer DR kat depan tu...nak sgt jd dr kowt kecik2 dulu...hihihi...BTW dia ajar mmg best coz dia dah lama sgt jadi lecturer... dia ok lahh..tapi anak dia xleh blahhh...kerek giler...hihihi

    ReplyDelete
  7. guna Dr nak tunjuk lagak..kononnya paling hebat.ada kelayakan akademik paling tinggi.
    perangai tu dah kira menipu.tak baik lecturer menipu student..teladan yang salah.
    bila student menipu, teruk kena gayang kat mngmt.tapi,bila lecturer tu menipu , tak ada apa2.tutup sebelah mata..buat tak tau je..
    ni org kata bodoh tak boleh diajar!!!!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  8. apa dpt dgn menipu guna PhD cap ayam ? dari menipu student dgn PhD cap ayam, baik menipu dgn gelaran Tan Sri cap ayam. dpt gak peluang bisnes. menipu dgn PhD cap ayam, menjatuhkan maruah diri, mendedahkan kebodohan diri.

    ReplyDelete
  9. so kat mane nak refer yg gelaran tu ori ke tipu2???

    ReplyDelete