Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Anda & Saya mempunyai tujuan dan matlamat yang sama di dunia ini.
Sekarang ini, anda sedang melaksanakan tugas anda iaitu menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk yang tersayang. Selain itu anda juga menyediakan pendidikan, kesihatan, dan kebajikan kepada mereka. Anda menyediakan semua ini dan seterusnya. Sementara itu saya sedang lena di dalam peti simpanan anda yang teguh, mengumpul segala tenaga dan meningkatkan nilaian saya tahun demi tahun.
Saya mempunyai penuh kepercayaan dan keyakinan terhadap anda. Anda menggunakan sebahagian pendapatan anda sebagai harga untuk menyimpan saya. Dengan kehendak dan keizinan Allah SWT diharapkan semoga tidak ada sesuatu pun yang akan menimpa anda.
Ketika ini, apabila kehidupan anda berjalan lancar dan pelayaran bagai di air yang tenang, saya seolah-olah tiada gunanya bagi anda sebagaimana keadaan sampan penyelamat yang tergantung di atas kapal penumpang yang besar. Tetapi suatu hari, hanya Allah sahaja yang mengetahui bila anda dan saya mungkin bertukar tempat.
Apabila anda disemadikan dengan aman, saya akan bangkit dengan pantas untuk menyumbang dan menyempurnakan tugasan yang telah saya mulakan. Saya akan terus menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang masih diperlukan oleh mereka yang anda sayangi. Saya juga akan menyediakan pendidikan kepada anak anda yang tersayang sebagaimana cita-cita anda selama ini. Kesihatan dan kebajikan yang anda sediakan untuk isteri tersayang tidak akan terhenti secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi di saat mereka benar-benar memerlukannya.
Apabila tugas anda telah selesai, tugas saya akan bermula. Melalui saya, tangan anda akan terus berbakti, dan melalui saya, cinta anda terhadap keluarga tetap menyerlah.
Setiap kali anda rasakan harga yang anda bayar untuk menyimpan sebagai bebanan, cubalah ingat bahawa saya akan melakukan lebih untuk anda dan keluarga anda berbanding apa yang anda lakukan untuk saya.
Jika anda melaksanakan tanggungjawab anda, saya akan melaksanakan tanggungjawab saya.
Yang benar,
POLISI TAKAFUL KELUARGA
*Dipetik dari Dr. Rizal Naidu
No comments:
Post a Comment