Selamat Datang kepada pengunjung budiman ke blog SYIFA AS SAKINAH C&S. Terimakasih .. Sertai segera Insurans Kesihatan Prudential BSN Takaful , Skim Pelaburan Ahli KWSP & Khidmat Kaunseling serta Pengubatan Islam. Buat appoinment & berbicang segera terus dgn saya. .

Sunday, 29 March 2009

2 Doktor Pakar Hospital Ampang Puteri DiTemui Mati


AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan apabila mayat Amin Tai dan Haliza ditemui di kawasan Bukit Taboh, Taman Melawati di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Puteri sejak Rabu lalu terjawab apabila polis menemui mayat mereka di Bukit Taboh, Taman Melawati di sini semalam.

Mayat Dr. Haliza Mohd. Shafie, 53, dan rakannya, Dr. Amin Tai Abdullah@Tai Yun Ming, 57, dijumpai pada ketinggian lebih 1,000 meter oleh sepasukan polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di situ sebaik saja menerima maklumat mengenai penemuan kereta Haliza.


Gambar Allahyarhamah Dr. Haliza & Allahyarham Dr Amin

Kereta jenis Nissan Latio warna hitam dengan nombor pendaftaran BKF 304 milik Haliza itu ditemui oleh suaminya di Bukit Taboh pada pukul 7 pagi semalam selepas kenderaan itu dipercayai dapat dikesan menggunakan sistem pengesanan global (GPS).

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, sebaik saja dimaklumkan mengenai penemuan kereta tersebut, pihaknya percaya yang kedua-dua mangsa telah mendaki bukit tersebut.

Katanya, andaian tersebut dibuat memandangkan kedua-duanya mempunyai hobi yang sama iaitu mendaki gunung.

“Mereka tidak memaklumkan kepada sesiapa pun yang mereka hendak mendaki bukit tersebut termasuk ahli keluarga dan polis bantuan yang berkawal di pos pengawal di kaki bukit tersebut.

“Dengan berbekalkan petunjuk tersebut, kita telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat bersama Jabatan Bomba dan JPA 3 melibatkan seramai 38 anggota,’’ katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan, mereka kali terakhir dilihat keluar dari hospital berkenaan pukul 11.30 pagi Rabu lalu dan sejak itu tidak hadir bertugas atau pulang ke rumah.

Tambahnya, selepas tujuh jam melancarkan operasi yang turut menggunakan khidmat helikopter, pihaknya mengesan dua objek menyerupai manusia yang terbaring dan tidak bergerak dari udara pada pukul 2.15 petang.

“Selepas kita pergi dengan lebih dekat menggunakan jalan darat, baru kita dapat mengesahkan terdapat dua mayat yang telah berulat dipercayai telah mati sejak tiga hari lalu,’’ katanya.

Katanya, mayat Haliza dapat dikeluarkan pada pukul 3.30 petang manakala mayat Amin Tai 15 minit kemudian.

“Mereka mungkin telah tersalah langkah dan terjatuh ketika berjalan di atas trek,’’ katanya.

Sumber : Kosmo , 29/3/2009 ( Ahad )

5 comments:

  1. HARIAN METRO 29/3/2009

    Dipercayai tergelincir

    KUALA LUMPUR: Tanda tanya kehilangan dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Puteri sejak Rabu lalu, akhirnya terjawab apabila mayat mereka yang berulat ditemui di kawasan cerun di Bukit Taboh, Ampang, di sini, semalam.

    Mayat dua doktor pakar terbabit, Amin Tai Abdullah@ Tai Yun Ming, 57, dan Haliza Mohd Shafie, 53, ditemui masih berpakaian lengkap dengan beg yang dibawa mereka, dipercayai untuk mendaki kawasan bukit.

    Sebelum itu, keretan Nissan Latio hitam milik seorang daripada doktor pakar terbabit ditemui kira-kira jam 8 pagi berhampiran loji air Syabas Taman Rekreasi Ampang, di kaki bukit berkenaan.

    Polis yang menerima maklumat kemudian membuat pemeriksaan dalam kereta berkenaan dan mendapati beberapa pakaian yang ditemui dalam kenderaan itu dilipat dengan elok.

    Penemuan kereta itu menjadi petunjuk bagi pasukan polis yang kemudian melancarkan operasi besar-besaran mencari dua doktor pakar itu di kawasan berkenaan dengan menggunakan helikopter.

    Ketika operasi, polis menemui dua mayat terbabit di kawasan cerun, kira-kira 200 meter dari puncak bukit itu, sebelum memaklumkannya kepada pasukan Bomba dan Penyelamat yang berjaya mengeluarkan mayat jam 2.15 petang.

    Difahamkan, dua doktor pakar itu adalah sahabat baik serta saling mengenali keluarga masing-masing dan mereka juga dikatakan belajar bersama di sebuah universiti di luar negara.

    Namun, kehilangan mereka sejak Rabu lalu menjadi tanda tanya kepada ahli keluarga sebelum suami Haliza membuat laporan polis mengenainya.

    Kali terakhir dua doktor pakar berkenaan dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) keluar dari hospital dengan berpakaian lengkap jam 11.30 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata mangsa kemungkinan tergelincir ketika mahu menyeberang puncak bukit terbabit.

    “Mereka kemungkinan tergelincir ketika melompat untuk menyeberang melalui laluan pelantar di kawasan bukit berkenaan.

    “Namun, kita masih menyiasat punca kematian dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

    ReplyDelete
  2. UTUSAN MALAYSIA 29/3/2009

    Kematian dua doktor pakar diklasifikasikan mati mengejut

    KUALA LUMPUR 29 Mac — Polis mengklasifikasikan punca kematian dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Putri yang mayat mereka ditemui di Bukit Tabuh, dekat Ampang semalam sebagai mati mengejut.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamiluddin berkata hasil laporan bedah siasat oleh Hospital Kuala Lumpur semalam mendapati Allahyarham Dr Haliza Mohd Shafie dan Allahyarham Dr Amin Tai Abdullah mengalami kecederaan berganda akibat terjatuh daripada ketinggian kira-kira 180 hingga 200 meter.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan leher serta terdapat kesan luka di beberapa bahagian anggota badan yang lain.

    “Kedua-dua mereka dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dan mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

    Semalam, mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat di Bukit Tabuh, Taman Melawati dekat Ampang di sini selepas dilaporkan hilang sejak Rabu lalu. Mayat kedua-dua mangsa ditemui pada pukul 2.15 petang semalam, kira-kira enam meter antara satu sama lain.

    Allahyarham Dr Haliza dan Dr Amin yang gemar mendaki bukit dipercayai pergi ke bukit tersebut untuk melakukan latihan pendakian sebelum melakukan aktiviti sebenar yang dijadualkan tiga minggu lagi. — Bernama

    ReplyDelete
  3. Berita Harian 29/3/2009

    Mayat dua doktor ditemui

    HULU KLANG: Mayat dua doktor pakar sebuah hospital swasta di Ampang yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, ditemui di kawasan hutan simpan Bukit Tabuh, dekat sini semalam, kira-kira 24 jam selepas laporan kehilangan mereka dibuat.

    Dr Haliza Mohd Shafie, 53, dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yun Ming, 57, dilaporkan hilang Rabu lalu selepas keluar bersama dari tempat bekerja.

    Usaha menjejaki mereka bermula kira-kira jam 7 pagi semalam sebaik polis menerima laporan suami Dr Haliza mengenai penemuan kenderaan jenis Nissan Latio milik isterinya itu berhampiran loji rawatan air milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dekat Taman Rekreasi Ampang.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta ahli keluarga mangsa.

    "Kita turut mendapat bantuan dua helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mayat kedua-dua doktor itu dikesan kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam.
    Dr Haliza (atas) dan Dr Amin.

    "Mayat Dr Haliza dikeluarkan dari lokasi itu jam 3.30 petang manakala mayat kedua, Dr Amin Tai berjaya dibawa keluar lima belas minit kemudian," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

    Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan mayat mereka sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (KHL) untuk bedah siasat.

    Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat yang tinggi.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hospital itu menunjukkan mereka meninggalkan hospital itu kira-kira jam 11.30 pagi dengan masih berpakaian pejabat.

    Ahli keluarga mangsa yang risau selepas kedua mereka tidak pulang membuat laporan polis malam kelmarin.

    ReplyDelete
  4. takziah diucapkan kepada kedua2 doctor tu..

    sang asura n frens

    ReplyDelete
  5. seeloknya yg wanita nak keluar bagitau pada suami, takde la tercari2. sekurang2nya kalau mati pun tak ditemui dalam keadaan dah reput.

    ReplyDelete